Ikuti Blog ini

Muhyiddin Buat Lawak.. Kalau Lawak Kat Afrika Orang Percaya Laa..

Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara bernilai RM2.2 bilion yang dianugerahkan kepada seorang peguam Umno adalah "berdasarkan merit", kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Projek berkenaan diberikan kepada Emrail Sdn Bhd dan dan Zabima Engineering Sdn Bhd.

Penasihat undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun adalah seorang pengarah dalam kedua-dua syarikat berkenaan.


"Ia berdasarkan penilaian yang sewajarnya berdasarkan kertas kerja yang dibuat oleh syarikat itu kepada kerajaan," kata Muhyiddin ketika ditanya wartawan.

Sebelum ini, penulis blog Raja Petra Kamaruddin mendakwa kerajaan persekutuan mengamalkan kronisme dalam penganugerahan projek itu dan dipercayai projek Lebuhraya Kinrara-Damansara itu adalah sebagai habuan atau ganjaran kerana peranannya membantu BN merampas Perak dari Pakatan Rakyat.

Namun Hafarizam ketika dihubungi Malaysiakini pada 21 Februari lalu berkata bahawa kedua-dua syarikat itu menghadapi "persaingan sengit" semasa proses tender.

Katanya, pengalaman mereka menyiapkan projek landasan berkembar keretapi dari Rawang ke Ipoh sepanjang 179 kilometer diambil kira dan mereka menang atas merit.

Raja Petra berkata Hafarizam adalah ahli lembaga pengarah di kedua-dua syarikat - Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd yang mendapat konsesi lebuh raya itu.

Selain penasihat undang-undang Umno itu, Raja Petra juga mendedahkan bahawa seorang lagi pengarah Emrail adalah Nik Sazlina Mohd Zain, isteri bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi - M'kini


Baca pula apa ulasan Peguam UMNO itu..

Peguam UMNO yang dimaksudkan, Datuk Hafarizam Harun memberitahu Malaysian Insider bahawa sebarang tanggapan kononnya satu persetujuan dibuat berikutan peranan beliau dalam krisis perlembagaan negeri Perak pada 2009 telah ‘dicemari dan bersifat mala fide (berniat buruk) serta bertujuan mencetuskan kebencian, skandal dan memburukkan nama mereka.”

Hafarizam yang merupakan penasihat undang-undang UMNO, bagaimana pun menafikan konsesi pembinaan lebuh raya itu diberikan kepada beliau dan Tun Zaki kerana peranan mereka dalam krisis perlembagaan negeri Perak pada 2009. Dalam krisis tersebut kerajaan negeri bertukar tangan dari Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional (BN) yang dikuasai UMNO.

Usaha Malaysian Insider untuk mendapat penjelasan daripada Tun Zaki gagal kerana beliau enggan membuat sebarang komen.

Dalam satu pesanan ringkas yang dikatakan dihantar kepada Malaysian Insider, Hafarizam dilaporkan berkata,”Kontrak tersebut diberikan kepada kami setelah syarikat berkenaan terbukti mempunyai keupayaan berdasarkan rekod prestasinya.”

Hari ini portal itu melaporkan pengesahan Hafarizam bahawa syarikat Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd dianugerahkan kontrak bernilai RM2.2 bil itu untuk membina Lebuh raya Kinrara-Damansara.

“Ya, saya pengarah kedua-dua syarikat Zabima dan Emrail,” beliau memberitahu Malaysian Insider dalam jawapannya pagi tadi.

“Kedua-dua syarikat adalah berasingan dari segi pengkhususan, iaitu kepakaran dalam pembinaan landasan kereta api dan kontraktor Kelas A. Perkataan ‘D’ yang bermaksud ‘deal’ (urus janji) tidak tepat dan mengelabui fakta, selain dicemari niat buruk (mala fide) dan juga bertujuan mencetuskan kebencian, skandal dan memburukkan nama mereka,” jawab beliau apabila diminta menjelaskan berhubung dakwaan oleh RPK pada Ahad.

Dalam artikel bertajuk “Episod 9: Ganjaran kerana memulangkan Perak kepada UMNO” yang disiarkan dalam Malaysia Today, RPK mendakwa Hafarizam dan Tun Zaki yang bersara pada 9 September tahun lalu, dianugerahkan kontrak pembinaan lebuh raya bertol, melalui syarikat Emrail.

“Secara kebetulan, apakah anda dapat mengesan sesuatu yang penting dalam hal ini? Ya, betul tu…Penasihat Undang-Undang UMNO sekarang ini, yang mewakili parti tersebut sepanjang Krisis Perlembagaan Negeri Perak, sementara Penasihat Undang-Undang UMNO sebelumnya (Ketua Hakim Negara) membuat keputusan untuk ‘mengarahkan orang nombor dua beliau mengambil tempat di mahkamah sebagai menggantikan beliau.’ Cuba teka siapa yang menang dalam kes tersebut? Semua dalam keluargalah, katakan…!”-sumber

Najib panik, batalkan SBPA menjelang pilihan raya


KUALA LUMPUR, 8 Mac: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan panik menghadapi tekanan kakitangan awam sehingga membatalkan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dicadangkan sebelum ini.

Demikian kata ADUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang, Sim Tze Tzin melalui twitternya hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan, kerajaan membatalkan rancangan untuk menggunakan SBPA berikutan bantahan kakitangan awam.

Najib berkata, kerajaan akan menggunakan skim yang ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) dengan penambahbaikan.

Najib juga mengumumkan, satu suruhanjaya khas dibentuk bagi mengkaji perkhidmatan awam negara.

Langkah kerajaan untuk menangguhkan SBPA adalah kerana takut reaksi kakitangan awam yang mungkin memberontak dalam pilihan raya akan datang.

Namun dipercayai, ia akan kembali kepada skim ini selepas pilihan raya umum nanti jika Barisan Nasional (BN) kekalkan berkuasa.

"Ha ha ha...tiada keputusan sehinggalah pilihan raya," kata anggota Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam Twitternya mengulas keputusan kerajaan mengenai hal ini.

Namun begitu, dengan pengumuman Najib, jurang gaji antara kakitangan awam akan terus meningkat dengan penyelarasan gaji yang diumumkan Najib.

Ini kerana, perbezaan peratus kenaikan gaji antara kakitangan awam peringkat rendah hanya sedikit sahaja berbanding dengan kakitangan peringkat atasan.

Najib berkata, kumpulan pengurusan dan profesional akan naik 13 peratus, kumpulan Utama dan khas A, B dan C 9 peratus, Turus 3 dan 2 8 peratus manakala Turus 1 dan KSN 7 peratus.

Walaupun peratusan kakitangan bawahan lebih tinggi tetapi oleh kerana gaji mereka hanya kecil sahaja, kenaikan ini rendah sahaja.

Misalnya jika kakitangan awam RM500, dengan kenaikan gaji 13 peratus, mereka akan mendapat kenaikan gaji sebanyak RM65 sahaja.

Namun untuk KSN dan Turus 1, oleh kerana gaji mereka tinggi misalnya RM12,000 sebulan, dengan kenaikan gaji 7 peratus, mereka mendapat kenaikan gaji sebanyak RM840 dalam pelarasan ini.

Kenaikan ini dilihat lebih baik berbanding SBPA yang dikatakan kakitangan paling rendah hanya mendapat kenaikan RM1.70 sahaja berbanding RM8,000 kakitangan paling tinggi.

Bagi Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pakatan Rakyat mempunyai saham dalam perubahan ini kerana hasil desakan merekalah SBPA tidak jadi dilaksanakan.

"SBPA dibatalkan & Sistem Saraan Malaysia (SSM) ditambahbaik. Tentunya hasil desakan PR," katanya dalam Twitter. -Hrkh

Imam Hosnan Yang Baling Kasut Ke Arah Hakim Dipenjara Setahun

Putrajaya, 8 Mac — Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap seorang imam yang membaling kasutnya ke arah hakim mahkamah sama bulan lalu, kerana telah menghina mahkamah.

Ketiga-tiga hakim yang sama menjelaskan “tindakan menghina mahkamah adalah sangat serius” dan “sekiranya tiada tindakan diambil, akan mencemarkan kuasa mahkamah.”

Mereka sebelumnya membenarkan Hoslan Hussin membuat rayuan bagi meringankan hukuman selepas mendapati beliau bersalah atas kesalahan tersebut.

Hoslan, 46, berkata, “saya keliru” mengapa dibicarakan di mahkamah sivil dan bukannya mahkamah syariah. Beliau diwakili oleh Karpal Singh untuk tujusan itu.

“Saya keliru. Semuanya keliru. Sebagai seorang imam saya hanya menolong orang melakukan perkara yang baik.

“Disebabkan politik dalam agama, mereka mendakwa imam,” katanya sebelum menangis.

Pada 22 Februari, Hoslan telah melemparkan kasutnya di Mahkamah Persekutuan apabila beliau cuba mencabar keputusan Masjid Kuala Lumpur pada 1999.

Tindakannya ketika itu mengejutkan hakim, peguam, dan pemerhati di kamar mahkamah.

Ketiga-tiga hakim yang sama, diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, membuat keputusan berkenaan “selepas menilai penjelasan” Hoslan.

“Mahkamah harus menjatuhkan hukuman yang bersesuaian,” kata Zulkifli ketika perbicaraan.

Datuk Suriyadi Halim Omar turut berkata Hoslan adalah “ganas.”

“Sesiapa yang alim akan dipandang tinggi. Tetapi kamu bersifat sebaliknya dan tidak menunjukkan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Ketika membuat rayuan, Karpal menjelaskan bahawa mahkamah harus mengambil kira “aspek emosi” berikutan tempoh 13 tahun yang Hoslan dipaksa menunggu sebelum kes beliau didengarkan.

“Mahkamah harus mengambil kira sekiranya teguran lebih bermakna daripada hukuman. Teguran serius lebih bermakna,” katanya.

Namun begitu, Ketua Hakim menjelaskan hukuman penjara adalah perlu sebagai pengajaran.

“Ini adalah kes menghina mahkamah yang serius, lebih-lebih lagi dia adalah kakitangan awam. perbuatannya itu telah mencemarkan nama baik mahkamah,”

“Hukuman ini adalah pengajaran ... untuk pentadbiran yang lebih adil,” jelas peguam persekutuan Suzana Attan.

Hoslan kemudian mengaku menyesali perbuatannya dan memohon maaf daripada pihak kehakiman.

“Saya kecewa. Saya harap kita akan memaafkan satu sama lain,” katanya. -TMI

KL Dilanda Banjir Kilat - Jalan Utama Sesak Teruk, Kereta Tenggelam

Terkandas jalan tenggelam

KUALA LUMPUR: Ribuan kenderaan dan orang ramai terkandas di sekitar ibu kota akibat banjir kilat di beberapa jalan utama berikutan hujan lebat sejak lewat petang semalam.

TENGGELAM...seorang penduduk melihat keretanya yang ditenggelami banjir di Kampung Lembah Jaya Utara, malam tadi.

Selain beberapa jalan utama di pusat bandar, turut dilaporkan kejadian pokok tumbang dan kemalangan kecil membabitkan kenderaan ringan akibat jalan dinaiki air.

Tinjauan Harian Metro mendapati, antara kawasan terjejas ialah Jalan Pudu, Jalan Istana, Jalan Bukit Bintang, Jalan P Ramlee dan beberapa kawasan di Ampang terutama Bukit Belacan dan Lembah Jaya dinaiki air sehingga ke paras pinggang akibat hujan lebat tanpa henti sehingga jam 9 malam tadi.

SESAK...kenderaan yang terkandas di Jalan Tun Razak.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, antara jalan yang terjejas teruk dalam kejadian banjir kilat ialah Jalan Travers, Jalan Bangsar-Mahameru, Jalan Silang manakala beberapa kawasan di Ampang termasuk Desa Pahlawan, Hiliran Ampang serta jalan Hulu Langat dinaiki air sehingga ke paras lutut.

Menurutnya, sebuah kereta dan motosikal terbabit kemalangan sebelum terhumban ke dalam longkang di hadapan Balai Polis Travers, bagaimanapun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku kerana kedua-dua pemandu dan penunggang motosikal diselamatkan.

Katanya, pihaknya sudah menghantar skuad bantuan ke semua kawasan termasuk meminta bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memutuskan bekalan elektrik di kawasan yang mengalami kejadian pokok tumbang seperti Jalan Silang bagi memudahkan proses pembersihan kawasan dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, hujan lebat di ibu kota menyebabkan Jalan Sultan Ismail ditutup kepada kenderaan ringan, namun kembali dibuka sepenuhnya mulai jam 10 malam tadi.

Beliau berkata, empat jalan utama mengalami kesesakan teruk sejak petang semalam iaitu Jalan Raja Chulan, Jalan Naga Sari, Jalan Dato’ Onn dan Jalan Sultan Ismail.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya sudah menggerakkan semua jentera bomba di kawasan terjejas teruk untuk menyalurkan bantuan bagaimanapun, sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian terbabit. -hm



Kredit Foto: NST, BH & HM








Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .