Ikuti Blog ini

Tukar kerajaan bukan angan-angan Mat Jenin - Nik Aziz

KOTA BHARU, 16 Sept - Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kata kerajaan baru karut. Manakala ada pemimpin parti lain pula sebut jangan jadi angan-angan Mat Jenin.

Mengulas perkembangan itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pertukaran kerajaan bukan sekadar gimik politik.

"Usaha ke arah membentuk kerajaan baru pada 16 September dengan diketuai Parti Keadilan Rakyat tidak boleh disifatkan sebagai angan-angan Mat Jenin.

"Ini kerana istilah angan-angan Mat Jenin itu tidak ada pada orang politik," katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian sambutan ulang ke-18 Tabung Serambi Mekah di sini, hari ini.

Perdana Menteri hari ini dilaporkan berkata, rancangan Pakatan Rakyat menubuh kerajaan baru 16 September sebagai karut dan ia seumpama cerita kosong.

Manakala ada pemimpin lain pula menyebut jangan jadi macam Mat Jenin jika kerajaan baru tidak berteraskan Islam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pemerintahan diterajui Umno dan BN sekarang tidak menunjukkan matlamat yang jelas sama ada menuju pemerintahan Islam atau mengamalkan demokrasi.

"Kerja-kerja Umno dan rekod buruknya menjadikan parti itu Islam pun tidak, demokrasi pun tidak," katanya.

Oleh itu beliau berkata, mengapa Umno tidak menukar dasarnya seperti dilakukan PAS di Kelantan melaksanakan polisi pentadbiran mengikut kehendak Islam sejak lebih 18 tahun lalu.


Zaid Lebih Bermaruah Daripada Ibrahim Ali

BARANGKALI ada yang beranggapan tindakan Zaid Ibrahim (foto) melepaskan jawatan menteri kabinet selaku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri kerana beliau kecewa. Bukan sangat kerana pandangan beliau disanggah oleh Syed Hamid Albar dan beberapa menteri ekoran sikapnya mengenai tidak setuju dengan tindakan kerajaan menggunakan akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan individu tertentu di bawah ISA, tetapi kerana hal lain.

Mungkin ada beranggapan beliau kecewa dan hilang kepercayaan kepada Umno apabila beliau tidak cukup pencalonan untuk mengekalkan ketua bahagian Umno Kota Bharu yang pernah dimenanginya.
Apapun tanggapan dan apa hakikat sebenar disebalik tindakan beliau itu kita ucapkan syabas dan tahniah kepada Zaid. Kerana ternyata beliau lebih baik dan bermaruah berbanding Ibrahim Ali.

Beliau berjaya menunjukkan rasa tanggungjawabnya. Dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya di Putrajaya pagi ini Zaid kekal dengan keputusannya, melepaskan jawatan yang menjadi kegilaan ahli politik itu.
Maknanya beliau tidak menghiraukan kepada rayuan dan permintaan Abdulah Ahmad Badawi agar beliau berfikir. Tikit percutian dua minggu tidak diambil dan dilayan oleh Zaid.

Keputusan itu dibuat mungkin setelah rayuan dan permintaannya kepada Abdullah ketika berjumpa semalam tidak dilayan.
Mungkin Zaid mendesak agar Abdullah membebaskan Teresa Kok dan Raja Peutra Kamaruddin. Ataupun juga beliau meluahkan apa yang berlaku dan sedang dilakukan oleh seseorang di Kota Bharu yang menyebabkan beliau tidak cukup pencalonan.

Apabila desakan dan rayuan atau rintihan itu tidak didengar oleh Abdullah, jadi untuk apa beliau tunggu lagi. Jelas beliau sudah tidak sehaluan dan sejalan dengan Abdullah. Maka jalan baru perlu diambil.

Keputusan dan tindakan Zaid itu lebih bermaruah dan bertanggunjawab daripada Muhyiddin Yaasin yang berani mengkritik Abdullah tetapi masih kekal berada di bawah dagu perdana menteri.

Mungkin juga beliau berbuat begitu ingin menguji sejauh mana moral dan maruah politik Muhyiddin. Muhyiddin tidak boleh menerima Abdullah sebagai ketua lagi apabila beliau meminta peralihan kuasa disegerakan. Sepatutnya Muhyiddin lebih awal berundur dari kabinet Abdullah berbanding dengan Zaid.

Keputusan Zaid itu menyusahkan Abdullah yang dalam susah dan pening kini. Tetapi sebagai rakyat marhaen yang merindui keadilan, kerajaan bermaruah kita angkat tabik 44 kali kepada Zaid atas keputusan itu. Dan tabik itu boleh ditambah sebanyak 44 kali lagi sekiranya beliau mengambil jalan benar dengan menyertai Pakatan Rakyat.

Sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu ketika beliau berdelima dengan masalahnya samada diberi kerusi untuk bertanding atau tidak di Kota Bharu saya sudah mencadangkan kepadanya agar menyertai PKR dan bertanding di Kota Bharu. Ketika itu beliau masih berat untuk berbuat demikian kerana masih ada hati kepada Umno.

Apakah setelah apa yang berlaku sudah berlaku hati beliau yang sebelum ini memiliki sisa Umno atau sudah jadi kering garing?

Pada saya tidak mengapa kalau pun beliau tidak menyertai PKR, apa yang beliau lakukan itu sudah membantu PKR yang kini dalam bersiap sedia untuk membentuk kerajaan. Seburuk-buruk Zaid Ibrahim dari kaca mata Pas Kelantan, lebih buruk lagi Ibrahim Ali yang kini sedang hanyut dalam lautan tidak berombak dan beralun.


Selepas 45 tahun, pembentukan Malaysia diraikan

KELANA JAYA, 16 Sept: Selepas 45 tahun berlaku, pembentukan Malaysia diraikan dengan penuh kebanggaan di Stadium Kelana Jaya malam tadi.

Ia diraikan oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut serta adalah para pemimpin DAP dan PAS yang menjadi rakan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Mewakili PAS adalah Naib Presidennya, Ustaz Ahmad Awang serta Setiausaha Agung, Datuk Kamarudin Jaffar. Manakala DAP diwakili oleh pemimpinnya iaitu Lim Kit Siang dan juga Lim Guan Eng.

Mereka sama-sama menyanyikan lagu Negaraku sambil mengibarkan bendera kebangsaan, Jalur Gemilang.

Sebelum itu, mereka berbuka puasa dan solat Maghrib dan Terawikh bersama-sama.





Anwar mahu jumpa PM, mengadap YDP Agong untuk bentuk kerajaan

PETALING JAYA, 16 Sept - Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menunggu jawapan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk diadakan pertemuan dengan Pakatan Rakyat secepat mungkin bagi memastikan peralihan kuasa berlaku secara aman dan demokratik.

Anwar berkata dalam pertemuan itu, beliau akan mengemukakan senarai nama-nama Ahli Parlimen Barisan Nasional yang telahpun memberikan komitmen untuk bersama-sama membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat.

Tegasnya, selepas bertemu dengan Perdana Menteri, Pakatan Rakyat akan memohon untuk mengadap Yang Di-Pertuan Agong bagi mendapat mandat penubuhan kerajaan baru.

Semua proses ini katanya, walaupun melepasi 16 September, namun ianya harus dilakukan secara teratur, aman dan demokratik menurut lunas-lunas Perlembagaan Negara.

ImageKatanya, beliau memberikan masa kepada PM beberapa hari ini untuk membuat keputusan bertemu dengan Pakatan Rakyat seberapa segera.

"Saya fikir PM tiada sebab untuk tidak bertemu dengan kami (Pakatan Rakyat)," katanya.

Anwar menegaskan demikian dalam sidang akhbarnya di Ibu Pejabat Parti KeADILan Rakyat dekat sini. Antara pemimpin yang hadir ialah, Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar, AJK DAP Pusat, Tan Kok Wai.

ImageMenurut Anwar setakat ini jumlah Ahli Parlimen yang diperlukan melebihi 31 orang dan jumlah yang memberikan komitmen mereka bertambah dari masa ke semasa.

"Ini bukan omong kosong. Kita ada jumlah yang mencukupi. Kita sudah bersedia untuk melakukannya," kata beliau.

Selain itu beliau turut menegaskan jika selepas beberapa hari, tidak ada respons, pemimpin Pakatan akan bertemu dan menentukan tindakan selanjutnya," katanya.

Menjawab soalan wartawan, Anwar tidak menafikan antaranya adalah yang berjawatan Menteri, Timbalan Menteri serta lain-lain pemegang jawatan utama dari pelbagai parti.

Walaupun diasak pelbagai desakan wartawan meminta beliau mengemukakan senarai tersebut, Anwar bagaimanapun enggan berbuat demikian kerana bimbang ahli-ahli parlimen tersebut akan diugut.

Katanya, apa yang penting Perdana Menteri harus memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa, penyalahgunaan ISA dan sebarang bentuk sekatan kepada perubahan kerajaan.

Semalam, wakil dari Pakatan Rakyat telah menghantar surat kepada Abdullah untuk mengadakan pertemuan.

Anwar berkata, mereka memberi masa kepada perdana menteri untuk berbincang dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menerima kehendak rakyat.

"Saya percaya beliau akan bertemu dan kita perlu menunggu hari ini atau esok," kata Anwar

Anwar turut berkata masa yang cukup perlu diberikan kepada Abdullah kerana Presiden Umno itu kini merupakan ahli politik yang kini dalam keadaan genting.

"Jadi, anda harus memaafkan beliau kerana beliau dalam keadan terdesak," katanya.


Mahkamah Persekutuan sahkan kemenangan PAS di Manir


Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan kemenangan Dato' Harun Taib daripada PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu kawasan Manir setelah menolak dengan kos petisyen pilihan raya calon Barisan Nasional, Wan Sagar Wan Embong.

Panel tiga hakim terdiri Hakim Besar Malaya Tan Sri Alaudin Mohamed Sheriff dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Dato' Arifin Zakaria dan Dato' Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa petisyen Wan Sagar untuk membatalkan keputusan pilihan raya kawasan Manir adalah cacat.

Bernama melaporkan,Mahkamah Persekutuan mendapati dakwaan Wan Sagar dalam petisyennya kononnya agen-agen Harun telah melakukan rasuah seharusnya lebih spesifik.

Hakim Zulkefli, yang membacakan penghakiman itu, berkata hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dalam mendapati petisyen Wan Sagar itu cacat kerana ia tidak mengandungi butir-butir mengenai amalan rasuah yang didakwa dilakukan oleh Harun.

Wan Sagar membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Mei yang menerima bantahan awal oleh Harun dan mendapati petisyen Wan Sagar untuk membatalkan keputusan pilihan raya bagi kerusi Manir adalah cacat kerana ia tidak mengandungi butiran mengenai amalan rasuah, dan menolak petisyen itu.

Dalam pilihan raya 8 Mac lepas Harun menang dengan majoriti 406 undi.

Harun diwakili peguam Mohd Ariff Yusof manakala Wan Sagar diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Mahkamah isytihar Hashim Jasin menang Dun Sanglang



Hashim Jasin diisytiharkan pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang buat kali ketiga berturut-turut selepas Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya hari ini.

Panel tiga orang hakim sebulat suara memutuskan kerusi itu dimenangi wakil rakyat itu, yang juga pesuruhjaya PAS Perlis, dan kemenangan calon BN Abdullah Hassan pada 8 Mac lalu dibatalkan.

Hakim-hakim memutuskan satu pilihanraya kecil tidak perlu diadakan.

Ekoran perintah mahkamah itu, PAS kini mempunyai dua kerusi di DUN Perlis dan BN 13.

Hashim memperolehi kerusi tunggal PAS itu sejak pilihanraya umum 1999 tetapi akibat kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi pada pilihanraya umum lalu, beliau diisytiharkan tewas di tangan Abdullah.

Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kangar mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas menerima permohonan petisyen yang dikemukakan oleh Hashim.

Bagaimanapun, mahkamah pilihanraya itu menolak permohonannya untuk mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi DUN tersebut.

Mahkamah itu bagaimanapun menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) untuk menentukan sama ada pilihanraya kecil perlu diadakan serta bila akan diadakan.

Hashim kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan supaya beliau diisytiharkan pemenang di Sanglang.

Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 2004 dengan majoriti 45 undi, mengalahkan calon BN Datuk Mastika Junaidah Husin.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, PAS melalui calonnya Rus'selle Ezlan menguasai satu lagi kerusi, Simpang Empat, dengan majoriti 53 undi.





Sasaran 16 September: Anwar bertegas 'ya'


ANWAR Ibrahim berucap di hadapan lebih 10,000 penyokongnya pada sambutan Hari Malaysian anjuran Pakatan Rakyat di Stadium Kelana Jaya malam tadi.

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Pelan sasaran 16 September Pakatan Rakyat yang berusia enam bulan akan menjadi realiti hari ini.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual akan mengumumkan butiran lanjut sasaran mereka termasuk jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah menyatakan hasrat untuk menyertai Pakatan Rakyat hari ini.

Ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia anjuran Pakatan Rakyat di Kelana Jaya malam tadi. Anwar berkata, pihaknya mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sebagaimana dijanjikan - ketika BN dan pemerhati politik meragui sasaran ikatan pembangkang itu.

Kata Anwar, tindakan beliau ini bukan untuk merampas kerajaan semasa tetapi mahu mengikut kehendak rakyat yang inginkan perubahan.

"Rakyat Malaysia sudah sedia dan matang untuk membuat keputusan," kata beliau di Stadium MPPJ, Kelana Jaya yang dibanjiri kira-kira 12,000 orang penyokongnya.

Terdahulu petang semalam, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua ketika dihubungi mengesahkan bahawa Anwar akan mengumumkan butiran lanjut mengenai pelan mereka hari ini.

Masa sidang media khas terus dirahsiakan sehingga malam tadi.

Difahamkan sidang media akan diadakan di Ibu Pejabat PKR sama ada pukul 11 pagi ataupun 3 petang ini.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution ketika dihubungi juga berkata, pihaknya sudah mempunyai bilangan wakil yang mencukupi untuk tujuan pembentukan kerajaan.

Difahamkan pihaknya sudah memujuk dan mendapatkan sokongan 40 hingga 45 Ahli Parlimen termasuk anggota Kabinet.

"Anwar akan mengumumkan modus operadi dan mekanisme untuk membentuk kerajaan pada sidang media (hari ini)," katanya.

Kata beliau, kerajaan persekutuan yang baru tidak akan dibentuk secara rasmi hari ini tetapi ia akan menjadi kenyataan dalam waktu terdekat.

Kata beliau, antara pukul 1.30 dan 1.45 tengah hari semalam seorang Ahli Parlimen bertaraf menteri telah menemui Anwar.

Saifuddin mengakui bahawa pembentukan kerajaan persekutuan yang baru memerlukan kehadiran wakil-wakil rakyat secara fizikal.

Malangnya dalam keadaan semasa, kata beliau, tidak semua Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan mampu hadir kerana sesetengahnya masih berada di luar negara termasuk di Hong Kong dan China.

"(Tarikh) 16 September jadi... semua perancangan sudah siap. Esok (hari ini) Datuk Seri Anwar akan membuat pengumuman secara rasmi melalui satu sidang akhbar khas," kata Tian yang semalam pulang ke tanah air selepas terlibat dalam lawatan ke Taiwan untuk memancing beberapa Ahli Parlimen BN di negara itu, yang mengadakan lawatan sambil belajar.

Antara lain kata beliau, Anwar akan mengumumkan bahawa lebih 32 Ahli Parlimen BN telah mempersetujui untuk masuk Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat diumumkan secara rasmi pembentukannya pada 1 April lalu turut mengisytiharkan sasaran pelan mereka membentuk kerajaan persekutuan menjelang 16 September.

"Kita semua sedang membuat persediaan akhir hari ini (semalam). Semua jentera sedang bergerak untuk pastikan semua berjalan lancar," katanya yang akan ke Sarawak malam ini bagi mengadakan perbincangan akhir dengan wakil di negeri itu.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan ketika dihubungi berkata, beliau yakin satu kejutan akan berlaku di Sabah mengenai beberapa orang Ahli Parlimen BN yanag akan lompat parti menyertai Pakatan Rakyat.

"Saya sudah terima panggilan dari mereka (Ahli Parlimen BN) minggu lalu untuk berbincang mengenai perkara ini.

"Sudah pasti mereka dari Sabah. Namun saya tak tahu berapa orang yang cakap dan berapa orang yang akan buat (lompat parti)," katanya.

Bagaimanapun beliau terus berkeyakinan bahawa akan berlaku perubahan sama ada pada esok ataupun luasa.

Ditanya mengapa Pakatan Rakyat seolah-olah menangguhkan tarikh pembentukan kerajaan baru hingga ke tarikh lain selain 16 September, beliau berkata: "Perkara penting begini perlu berhati-hati, jadi mungkin ambil masa."

ANWAR Ibrahim bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat pada majlis sambutan Hari Malaysia di Stadium Kejaya Jaya malam tadi.



Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .