Ikuti Blog ini

AWASI PENGUNDI HANTU DI PERMATANG PAUH

Pak Lah: Teruskan IFC


Isu IFC dan murtad yang sebelum ini sudah agak reda menjadi panas semula berikutan gesaan Pak lah agar dialog antara agama seperti IFC diteruskan. Sebelum ini, berikutan ketegangan antara agama, Pak lah telah membuat kenyataan media bahawa cadangan penubuhan Interfaith Council (IFC) iaitu sebuah badan antara agama yang akan mengambilalih sebahagian besar kuasa Mahkamah Syariah termasuk berhubung isu murtad perlu ditangguh.

BERNAMA melaporkan bahawa Pak Lah membuat kenyataan baru yang menggesa dialog interfaith yang sebelum ini ditunda perlu diteruskan.
Sebelum ini, Pak lah pernah membuat kenyataan bahawa secara peribadi, beliau berpendapat bahawa orang Islam patut diberi kebebasan untuk menukar agama kerana tidak ada paksaan dalam beragama. Kenyataan ini dilaporkan oleh akhbar-akhbar luar negara secara meluas ketika itu.

Umum mengetahui bahawa anak-anak Pak Lah dan Mahathir merupakan antara ketua-ketua Sister-In-Islam iaitu sebuah organisasi yang menyokong kuat hak untuk murtad atas dasar kebebasan agama.

Kenyataan Pak Lah ini bercanggah 100% dengan kenyataan Syed Hamid Albar bahawa dialog seperti IFC ini membawa kepada sentimen permusuhan antara agama.

Gesaan Vaithilingan supaya subjek mata pelajaran Kristian, Buddha dan agama-agama lain diajar di sekolah dipercayai akan mendapat tentangan kuat ibu bapa yang beragama Islam tidak kira PAS atau UMNO. Justeru, jaminan Pak Lah untuk mempertimbangkan permintaan-permintaan ini menghampakan sebahagian umat Islam."

Dr M: Anwar akan menang di Permatang Pauh



Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai calon "istimewa" yang mampu menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, Penasihat PKR itu akan memenangi pilihanraya tersebut kerana ia merupakan kubu kuat beliau di samping BN juga sudah hilang kredibiliti setelah gagal menawan kawasan berkenaan pada beberapa pilihanraya umum lalu.

"Ketika ini, saya tidak nampak sesiapa (calon), tentunya dari BN. Anwar akan menang. (Tapi) apa yang menarik ialah margin. Sama ada (undi) lebih besar dan lebih kecil dari apa yang beliau (Anwar) dapat pada masa lalu," katanya ketika ditanya mengenai pandangan beliau berhubung calon yang mampu menentang Anwar dalam pilihanraya tersebut.
Sebelum itu, Dr Mahathir menyampaikan syarahan di forum bertajuk "Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan Melayu" anjuran Barisan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu, di Kuala Terengganu hari ini.

Sebaliknya, Bernama memetik bekas perdana menteri itu sebagai berkata ini menunjukkan bahawa BN khususnya Umno sudah semakin tidak diterima rakyat.

Calon bebas

Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak supaya beliau bertanding sebagai calon Bebas pada pilihanraya kecil itu, Dr Mahathir berkata: "Tak mungkin. Saya telah berundur pada 2003 dan saya telah kata saya tidak akan datang semula. Tetapi saya punya hak sebagai warga untuk membuat ulasan mengenai negara saya".

Beliau berkata jika terdapat calon Bebas bertanding dalam pilihanraya kecil itu, ia akan hanya memecahkan undi calon BN dan PKR.

"Terpulang siapa (calon Bebas) yang bertanding. Kalau dia dari serpihan PAS, kemungkinan ia akan mengurangkan undi kepada Anwar...kalau dia bekas Umno, maka dia akan menambah kelebihan undi kepada Anwar. Tetapi tidak ada kemungkinan calon Bebas ini akan menang," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan kekal sebagai presiden Umno walaupun Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk merebut jawatan berkenaan pada pemilihan parti itu Disember ini.

"Ku Li (Tengku Razaleigh) harus menilai sokongan ahli. Saya dapati cuma di peringkat rendah (akar umbi) yang menyokongnya. (Sebaliknya) Pak Lah mendapat sokongan dari ketua-ketua bahagian Umno sehingga mereka tidak boleh buka mulut sama sekali.

"Dulu mereka (ketua bahagian) yang pernah cabar Datuk Seri Abdullah, sekarang senyap...saya fikir susah (bagi Tengku Razaleigh untuk menang).

"(Bagaimanapun) dalam parti Pak Lah akan menang tetapi dalam pilihanraya, dia akan kalah," katanya.

Peguam Islam perlu terajui Majlis Peguam - Zulkifli Nordin



KUALA LUMPUR, 9 Ogos-"Sudah sampai masanya peguam yang beragama Islam mengambilalih teraju kepimpinan Majlis Peguam," kata ahli exco Persatuan Peguam Islam, Zulkifli Nordin.

Beliau berkata, ini bagi mengelakkan Majlis Peguam menganjurkan forum yang boleh menimbulkan kemarahan orang Islam.

Malaysiakini melaporkan, Zulkifli yang juga ahli Parlimen KeADILan Kulim-Bandar Baharu memberitahu pemberita demikian selepas menyertai perhimpunan membantah penganjuran forum awam 'memeluk Islam' anjuran majlis tersebut di ibu negara hari ini.

Beliau mendakwa, Majlis Peguam menganjurkan forum tersebut kerana hendak membuat provokasi terhadap orang Islam.

"Tetapi saya mewakili Persatuan Peguam Islam memberi amaran supaya tidak mencabar umat Islam kerana kesabaran mereka ada hadnya," katanya.

Forum awam tersebut akhirnya dihentikan ekoran bantahan umat Islam yang berhimpun di luar bangunan ibupejabat majlis tersebut.

Seramai 500 orang berkumpul di depan bangunan Majlis Peguam sejak awal pagi, sambil melaungkan "Hancur Bar Council", "Hidup Islam" dan "Batalkan Forum".

Mereka turut membawa sepanduk yang berbunyi "Jangan cabar Islam', "Jangan cetuskan kemarahan umat Islam demi keharmonian umat Islam" dan "Menjunjung keadilan, menyanggah kezaliman".

Zulkifli berkata, forum anjuran Majlis Peguam hari ini sebenarnya bukan dialog tetapi sebaliknya, satu program untuk memprovokasi terhadap umat Islam.

"Semasa saya berunding dengan presiden dan timbalan presiden Majlis Peguam, saya katakan kepada mereka bahawa forum ini tidak wajar diadakan.

"Saya katakan forum ini menguji kesabaran orang Islam," katanya yang gembira kerana umat Islam bersatu menyatakan suara mempertahankan hak mereka.

Sementara itu, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu, Jais Abdul Karim berkata, beliau mendapat tahu 110 peserta telah menghadiri forum tersebut.

Katanya, 95 peratus daripada mereka adalah terdiri daripada orang bukan Islam.

"Semasa kami naik ke tempat forum, saya mendapati ia sedang berjalan dan kami memaksa mereka memberhentikannya.

"Ketika itu ada peserta mengeluarkan perkataan yang menghina kami," katanya sambil menambah "inilah perjuangan yang terpaksa kami lalui untuk menegakkan Islam".

Jais berkata, beliau berharap program seperti ini tidak lagi diadakan pada masa depan.

Katanya, sebanyak 29 penyokong NGO Islam datang untuk menyatakan sokongan membantah forum tersebut.

Raja Nazrin terima kunjungan hormat delegasi PAS


KL: Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi PAS yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub di Istana Perak, Bukit Persekutuan dekat sini, Khamis.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, baginda dan delegasi PAS membincangkan beberapa perkara berkaitan negara termasuk peranan Majlis Raja-raja serta isu berkaitan negara dan rakyat.

"Perbincangan adalah berkisar kepada bagaimana seharusnya peranan yang dimainkan oleh Majlis Raja-raja dan institusi di negara ini ke arah kebaikan semua rakyat.

"Tuanku amat gembira dengan kehadiran dan perbincangan yang diadakan hari ini. Dan kami mengharapkan agar pertemuan seperti ini akan diadakan pada masa akan datang," kata Salahuddin kepada Bernama selepas pertemuan itu.

Salahuddin hadir bersama lima anggota Dewan Pemuda PAS terdiri daripada Setiausaha Ahmad Sabri Yusof, Penolong Setiausaha 1 Musaddak Ahmad, Bendahari Zaki Ibrahim, Ketua Penerangan Suhaizan Kayat dan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak Norazli Musa.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini.

Pemuda Islam Wilayah dan Selangor turun bantah forum “memeluk Islam”


Pemuda Islam Wilayah dan Selangor akan turun berhimpun bagi membantah forum bertajuk “memeluk Islam” yang dianjurkan oleh majlis peguam pada hari ini, 9 Ogos 2008 (Sabtu). Bantahan tersebut sebagai tanda protes dan amaran kepada majlis peguam yang dilihat cuba untuk mempertikaikan hak agama Islam.

Program ini juga amat merbahaya dan boleh menimbulkan ketegangan hubungan antara umat Islam dan penganut agama lain. Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dalam kenyataan medianya sebelum ini membantah sekeras-kerasnya forum tersebut.

“Perkara ini juga berlaku akibat daripada kelemahan pemimpin-pemimpin Islam yang tidak dapat menjaga Islam walaupun telah memegang tampuk kekuasaan. Sehingga Islam boleh dipertikaikan dan diperlekehkan”

Berikutan itu semua Pemuda PAS Wilayah dan Selangor telah mengarahkan ahlinya turun bersam-sama membantah pada esok hari. Pemuda PAS juga menyeru dan mengajak semua umat Islam lain yang prihatin untuk turun bersama-sama bagi menunjukkan rasa tidak puas hati umat Islam terhadap program tersebut.

Semua Pemuda dan umat Islam diminta berkumpul di hadapan LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada pukul 9.00 pagi ini dan berjalan beramai-ramai ke perkarangan Majlis Peguam.

“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu kepada kamu. Dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kamu..(Al-Maidah :3)
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .